Semalaman cuba kembali mencari tempat di
sini. Perasaannya, seolah bukan berada dalam susuk sendiri. Seolah,
bukan dalam sarung kulit sendiri. Seolah, ada dinding cermin yang
pisahkan realiti dengan alam sebelah.
Aku,
di alam sebelah, berlari, merempuh, menendang, melayangkan segala apa
yang mampu ke dinding pemisah, hanya untuk kembali ke susuk ini.
Kembali ke dalam ruang legar fikir yang sama. Kembali merasa normal. Kembali merasa..hidup.
Petang
itu redup. Sambil bertikarkan rumput, berlantaikan bumi, berpayungkan
dahan-dahan pokok, aku duduk tadahkan telinga untuk secebis pengalaman
jiwa yang baharu. Satu demi satu berdiri di depan lontarkan suara,
melagukan puisi, teriakkan rasa jiwa yang terkurung sekian lama. Salah
atau betul interpretasinya, aku persetankan. Yang ada dalam kepala aku
ketika itu; kau.
Dalam
keramaian, aku keseorangan. Dalam hingar-bingar, telinga aku sepi;
hanya suara kau yang aku akan cam. Aku tidak rasa 'masuk' dalam apa-apa
ruang yang ada sekalipun di situ, ketika itu. Aku rasa diperhatikan.
Dan
akhirnya; aku balik dengan pengharapan. Tiada satu langkah pun yang
tertinggal tanpa pengharapan bahawa tiba-tiba, kau hadir di belakang dan
tepuk bahu aku, dan ketawa.
Bila semalam sudah jadi masa lalu,
aku kembali menghitung detik.
Dan aku akan terus kebas.
No comments:
Post a Comment