Aku bukannya dalam kedudukan untuk memberi nasihat tentang perhubungan, mahupun perasaan. Ataupun benda betul atau salah. Aku sendiri bertarung dengan diri sendiri untuk memahami apa sebenarnya yang aku rasa, apa sebenarnya yang aku mahu, apa sebenarnya yang terjadi.
Sekurang-kurangnya sekarang, aku dapat apa yang aku nak. Pengajaran. Langsung daripada Allah, diperkenan.
Setahun lepas;
"Moga awak dapat apa yang awak kejar-kejarkan sangat tu!" Jerit lelaki yang sanggup ada untuk aku bila-bila masa, cumanya aku tak dapat halang kepala aku fikir yang aku sebenarnya pergunakan dia dan tipu diri sendiri dengan percaya yang aku memang benar-benar ada perasaan cinta itu. Tapi aku mahu belajar, aku mahu bebas, aku mahu mengalami sesuatu yang baru. Yang real. Dan aku pergi, berani, walaupun dia ugut yang aku tidak akan dapat satu pun apa yang aku sangka akan dapat.
6 bulan lepas;
"Terima kasih sebab buat saya macam ni. Pergilah kejar apa yang awak tamakkan sangat tu. Semoga bahagia!" Jeritnya lagi. Kali ini, sekali lagi aku jadi manusia paling tak bertimbang rasa dalam dunia. Paling tak rasional. Tapi aku tahu kini, apa sebenarnya yang aku betul-betul mahu.
Cumanya, dah terlambat. Dah terlalu banyak hati yang terluka, dan dah terlalu banyak orang yang teraniaya.
Aku takut terjerut dengan karma. Takut dosa aku, tempias pada adik-adik, mak, atau ayah aku. Allah balas tunai aja, sekarang ini. Mintak-mintak dijauhkan.
Lagi buat aku pandang yang dunia ni dah tak tinggal apa dah untuk aku; selain tanggungjawab yang harus dilunaskan. Sudah sampai masanya untuk betul-betul jadi yang sepatutnya, bukannya manja lagi. Umur makin meningkat, harus bertindak kena pada tempatnya. Di ruang waktu yang sesuai.
Semuanya, semua. Termasuk kemahuan aku yang paling jitu; untuk berupaya membantu.
Itu saja yang mampu buat aku berasa hidup, tapi aku makin dapat rasa yang tuhan tarik perlahan demi perlahan, kadang-kadang sekadar memberi peringatan.
Hidup masih terlalu panjang lagi aku rasa, jika aku cuba bayangkan. Dan apa yang aku nampak semuanya baik-baik belaka. Memang, aku banyak kerisauan, tapi tak bermakna aku tidak percaya yang baik-baik akan berlaku kelak. Masih, berharap, pada secebis rahmat Allah.
Mungkin aku takut, ya, sebenarnya aku takut. Bagaimana kalau semuanya tiba-tiba terpusing 360 darjah?
Aku bersyukur, dalam diam, mak tahu apa yang terjadi kepada anak dara tunggalnya seorang ini. Tapi dia biarkan aku bebas untuk buat kesilapan sendiri dan menjadi matang. Kerana dia tahu, aku tak akan serik kalau tidak merasa sendiri peritnya. Biarpun berbuih mulutnya menghujahkan.
Dan tadi aku cakap hidup masih terlalu panjang? Oh mungkin taklah terlalu panjang. Itu semua persepsi kita saja. Sangkaan kita saja.
Dan aku masih tidak yakin untuk dijemput pergi ke dunia yang sebenar-benarnya real. Aku tahu, mungkin, semua orang yang pernah aku lukakan mungkin akan maafkan aku, memahami, dan berharap yang baik-baik saja.
Tapi ada satu hati yang aku rasa tidak akan mampu memaafkan sepenuhnya walaupun kalau aku dah dijemput pergi. Kerana dia yang paling terluka.
Itu, rahmat tuhan yang Dia tarik dari aku. Untuk buat aku dalam keadaan sedar sepanjang masa.
Untuk memburu kemaafan, dan memberi segalanya yang aku mampu. Perlahan-lahan, ketidakupayaan ini memakan aku dari dalam.
Apalagi hukuman paling berat, daripada berasa helpless dan useless, kepada orang yang kita benar-benar mahu bantu? Tapi orang lain, kita casually dapat bantu diluar sedar pun.
Okay, saya mula tidak suka perasaan kegelapan ini.
noktah
No comments:
Post a Comment